Saturday, July 3, 2021

Awaklah Sonataku....8

 

 

BAB 8

“Lepas lunch ini, awak temankan saya ke butik. Esok company ada dinner,” tutur Velviana manja. Yen mengangguk menuruti permintaan gadis itu.

“Malam esok awak lapang tak?” Dia berfikir sejenak. Berkira-kira kalau malam ini dia boleh menyiapkan susun atur melodi lagu itu.

“Awak temankan saya pergi dinner. Tak bestlah kalau awak tak datang sama,” renggek gadis itu dengan manja sambil memaut lengannya bagai si kecil yang mahu kehendak sentiasa dipenuhi.

“Esok saya beritahu awak. Malam ini nak cuba habiskan homework,” jelas Yen memberi harapan girang buat gadis ini. Velviana tersenyum lebar. Senang hati kerana selama ini setiap permintaannya tidak pernah ditolak oleh pemuda ini.

Aku menatap deretan gaun majlis makan malam. Semua tampak ekskulsif dan mewah. Hargapun boleh tahan mahal dari tiga angka hingga mencecah keempat angka hanya untuk sepasang gaun. Sekadar mahu mencuci mata kerana sedar aku tidak mampu memilikinya. Suatu pembaziran berbelanja besar hanya untuk sepasang gaun.

“Yang mana awak berkenan?” Kedengaran suara lelaki berbicara. Kuamati suara yang tidak asing itu. Sepasang kekasih sedang leka memilih gaun-gaun yang tergantung di situ.

“Saya berkenan dengan gaun yang ini. Okey tak?” suara manja gadis itu cukup kuingat. Gadis yang kujumpa di premis tempoh hari. Ya, dia itulah kekasih hati Yen. Jadi lelaki itu ialah Yen. Aku mengintai-intai di celah gaun-gaun yang tergantung itu. Memang tepat. Aku nampak wajah pemuda itu. Jelas sekali mereka sekarang berada di butik ini. Senyap-senyap aku berundur menjauhi mereka. Aku memusing tubuhku 360◦ lalu tegak bergerak ke pintu. Persis perajurit sedang berkawad.Yen berpaling menatap gadis yang tegak 90◦ melangkah laju meninggalkan butik ini. Dia cukup kenal rambut panjang lurus dan susuk tubuh gadis itu.

“Iman ssi...,” Nama itu meniti di bibirnya. Velviana berpaling menatapnya. Seseorang yang dikenali pemuda ini turut berada di butik ini.

Who?” Dia melontor pandangan menyoroti pandangan pemuda itu. Tiada sesiapa di situ.

“Awak sebut nama siapa tadi?” Pemuda itu hanya senyum. Memandangkan dia masih sibuk membuat pilihan, dilupakan perkara itu. Sebaliknya pemuda itu masih memikirkan tentang gadis tadi.

“Awak dah balik,” sapaku melihat Yen muncul di muka pintu.

“Ya...,” Aku sudah siap membersihkan ruang tamu. Semua pakaian pemuda ini sudah dilipat dan tergantung rapi di dalam almari. Malah hidangan malam sudah tersedia hendak dijamah.

“Awak dah masak?” Aku mengangguk tersenyum. Bangga sebab berjaya menyiapkan semua tugasan dengan pantas.

“Saya dah bersihkan rumah, bersihkan bilik awak, basuh pakaian dan siap digantung di dalam almari,” tambahku mempamer ketangkasanku.

“Saya mandi dulu, kejap lagi kita makan sama,”tuturnya.

“Awak tak makan di luar tadi?” tanyaku apabila teringatkan peristiwa siang tadi.  Susah payah aku menyelinap keluar dari butik itu gara-gara tidak mahu bertembung dengan mereka. Langkah Yen mati. Dia berpaling ke arahku.

What?” Aku tersilap langkah. Niat mahu merahsiakan kehadiranku di butik itu. Sekarang aku sendiri hampir-hampir membocorkannya. Aku tersengih kematian akal sambil garu-garu kepala yang tidak gatal.

Aku sudah siap menghidang makanan di atas meja. Yen yang sejak tadi setia menanti mula menikmati hidangan. Seperti biasa dia akan makan dengan penuh fokus. Sekurang-kurangnya berbaloi penat-lelahku menyediakan semua ini memandangkan dia tidak pernah membazirkan semua yang kumasak. Selagi mampu dia akan memuatkan makanan yang terhidang seberapa banyak ke dalam kantung perutnya. Dia sentiasa berselera.

“Tengah hari tadi awak pergi mana?” Aku mengangkat muka lalu menatap Yen. Kami berpandangan.

“Pegi kerjalah,” sahutku bersahaja. Cuba berlagak biasa.

“Masa rehat?” Aku diam seketika. Berfikir jawapan yang terbaik sebelum membuka mulut. Tidak mahu rahsiaku terbongkar. Aku bimbang Yen akan memerliku kalau aku mengaku yang aku telah terserempak dia di butik siang tadi. Pasti mengundang kemusykilannya aku harus berada di situ. Segan juga.

“Awak ini macam penyiasat pula banyak tanya. Makanlah,” arahku cuba melarikan diri daripada terperangkap. Yen masih menatapku buat aku jadi serba salah.

“Awak ada pergi ke butik siang tadi?” Aku tersentak. Betulkah dia nampak aku tadi atau sekadar menduga mahu memerangkapku.

“Kenapa? Saya tak boleh pergi ke tempat macam tu? Takde pun notis yang beritahu tempat itu hanya untuk orang kaya saja,” bidasku serius. Tiba-tiba sahaja aku naik angin. Yen menatapku dengan pandangan kosong. Betul-betul menyakitkan hati menatapnya.

“Saya tahu saya tak layak pergi ke butik, takde duit nak beli gaun beratus-ratus ringgit harganya tapi salah ke saya melihat pakaian yang dijual di situ?” tegasku. Terasa anak mataku berkaca. Hatiku hiba dan terguris dengan sikapnya yang bongkak.

“Saya tahu gaun cantik hanya sesuai untuk gadis cantik macam girlfriend awak tapi tak payahlah berlagak dan nak perli orang. Lelaki kejam!” bentakku. Kutepuk meja dengan kedua-dua belah tanganku melempiaskan sakit hatiku. Lantas aku bangun lalu meninggalkan Yen terkebil-kebil. Sepi. Dia menatap hidangan di depan matanya. Satu-persatu diletak di dalam pinggan. Dikunyah beberapa kali nasi di dalam mulutnya. Dimasukkan sesuap nasi ke dalam mulut lagi. Perlahan-lahan dikunyah. Ternyata selera sudah mati bersama kemarahan gadis itu. Akhirnya dia termenung panjang di situ.

Aku terbaring kaku di atas katil ini. Anak mataku menatap siling yang terbentang. Kuperhatikan sekeliling bilik ini. Sunyi sepi. Kutatap wajah-wajah yang terpampang di depanku. Bi Rain, Jang Hyun, Gwon Sang-Wu, Park Seo Jun, Hyun Bin, Song Seung Heon dan Jang Geun Suk sedang tersenyum. Menatap wajah dan senyuman Jang Geun Suk seolah-olah aku berdepan dengan pemuda di luar itu. Mereka nampak seiras seperti adik-beradik kembar. Rambut, mata, hidung, bentuk tubuh badan, warna kulit memang menyerupai aktor kacak Korea itu. Kecuali ulas bibirnya sahaja sedikit berbeza. Bibir pemuda itu lebih nipis. Agaknya dia meniru penampilan aktor kacak ini memandangkan mereka serupa. Tengok sahaja potongan dan warna rambut mereka memang 100%  sama. Rambutnya yang beralun mencecah setakat bahu itu diwarna keperang-perangan. Memang begitu sesuai dengan warna kulit dan bentuk wajahnya.

“Si Plagiarizer!” kutukku bercakap sendiri. Malas aku mahu memikirkan pemuda kejam itu! Aku memejamkan mata cuba hendak tidur. Namun perut mula berkeroncong. Kalaulah aku tidak terlalu sensitif tadi tidaklah aku kebuluran sekarang. Kupejamkan mata lagi. Masih tidak mahu tidur. Perutku semakin terasa pedih. Aku betul-betul lapar. Mahu tidak mahu aku terpaksa menebalkan muka melangkah ke dapur. Mengambil risiko bertemu dengan Yen. Harap-harap dia sudah berada di bilik tidur. Penuh hati-hati aku mengatur langkah menuruni anak tangga. Kupandang ke kiri ke kanan, kalau-kalau Yen sedang memerhatikan gelagatku. Lapang dada kerana Yen tidak berada di tingkat bawah ini.

Aku tersenyum lebar tatkala melihat hidangan masih berada di atas meja. Tanpa membuang masa, laju aku menikmati hidangan malam yang tergendala sebentar tadi. Lebih menyelerakan tanpa kewujudan Yen di sini. Aku boleh makan sebebas-bebas tanpa kekok. Usai makan, aku terus mengemas dapur dan mencuci pinggan. Sayup-sayup kedengaran suara orang menyanyi. Kuamati suara itu. Suara nyanyian itu berada di dalam rumah ini. Aku menjejaki suara itu. Akhirnya langkahku mati tepat di depan pintu bilik ini.

Kupusing tembol pintu dengan berhati-hati dan perlahan-lahan. Di celah-celah daun pintu ini aku cuba mengintai. Aku nampak Yen sedang leka dan tenggelam dalam alunan lagu dan petikan gitar. Sungguh merdu suaranya mengalun melodi indah itu. Aku terpukau. Begitu menyusuk kalbu. Bukan setakat wajah yang sempurna malah suaranya juga begitu merdu. Pasti kekasihnya begitu bangga dengan dirinya. Aku terbayang senyuman lebar gadis itu. Mereka memang pasangan kekasih yang sepadan.

“Iman ssi, apa awak buat di situ?” Aku tersentak. Sepasang mata ini sedang menghala ke arahku. Baru tersedar petikan gitar dan alunan suaranya sudah tidak berkumandang lagi. Aku tidak sempat hendak melarikan diri.

Come here,” pelawanya. Aku sudah lupa tentang kemarahanku tadi. Aku terus melangkah masuk mendekatinya. Jari-jemarinya santai memetik tali gitar itu.

“Awak datang bulan ke?”

Mwo (apa)?”Aku tersentak mendengar pertanyaan itu.

“Tadi tetiba marah sangat tapi sekarang dah nampak coll,” jelasnya cuba mengungkit tingkahlakuku. Aku tersengih. Memang aku agak keterlaluan tadi terus melenting tanpa memberi peluang hendak memperhalusi bicaranya.

Sorry sebab marahkan awak tadi,” tuturku kesal. Yen senyum.

“Kenapa awak marah?” tanyanya menuntut penjelasanku.

“Cara awak bertanya menekan saya,” terus-terangku.

“Tekanan?” Dia menatapku lagi. Sebenarnya aku kurang senang kalau dihujani dengan pelbagai pertanyaan.

“Sejujurnya awak nak kutuk saya kan,” dugaku. Yen mengeluh dan menjelingku dengan lirikan matanya. Tajam.

“Awak prasangka yang bukan-bukan,” Aku terdiam mendengar tuduhan ini.

“Kenapa awak nak tahu sangat sama ada saya ada di butik itu?” tanyaku.

“Saja nak tahu,” balasnya bersahaja sambil terus fokus pada petikan gitarnya. Aku diam dan terus memerhatikan gelagatnya. Teruja melihat bakatnya bermain gitar. Sebenarnya aku pun berminat hendak belajar kemahiran ini namun tiada kesempatan.

“Kenapa awak melarikan diri?” tanyanya lagi tanpa menatapku.

“Melarikan diri?” ulangku semula.

“Awak bergegas meninggalkan butik itu. Awak nampak saya dan Velviana ada di situ. Betulkan?” duganya. Aku diam. Berfikir sejenak tentang jawapan terbaik yang bakal aku berikan. Tidak mahu berlaku salah faham nanti.

“Saya tak nak bertembung dengan kekasih awak itu. Sejujurnya saya tak tahan melihat kesombongannya dan untuk pengetahuan awak, saya masih marah padanya kerana merampas cd Korea daripada saya,” luah isi hatiku selengkapnya.

“Awak betul-betul fanatik dengan aktor-aktor Korea tu,” komennya. Aku mengangguk menyokong bicaranya. Tiba-tiba ada pertanyaan melintas di benak yang harus aku utarakan kepadanya.

“Awak tahu Jang Keun Suk?” soalku. Berkerut dahinya menatapku.

“Siapa tu? Boyfriend Korea awak?” tanyanya semula. Syukur teramat syukur kalau betul dia itu kekasih hatiku. Akulah manusia paling bahagia di dunia ini dapat kekasih setampan dia dan dalam masa yang sama kekasih yang malang kerana dia dipuja oleh ribuan wanita di dunia ini.

“Betul awak tak tahu?” tanyaku meminta kepastian. Dia mengangguk serius.

“Dia kembar awak. Salah seorang daripada enam orang yang ada di muka bumi ini. Dia pun terror main gitar dan bersuara merdu macam awak. Memandangkan awak dengan dia ada 90% persamaan, so mulai sekarang saya panggil awak dengan nama Jang Geun Suk,” tuturku selamba. Dia menatapku serius.

“Saya rasa otak awak ada yang tak betul,” tuturnya.  Aku tertawa menyambut bicaranya. Aku tidak akan menjelaskan lebih lanjut kepadanya bahawa nama itu ialah milik seorang aktor kacak Korea. Kalau aku beritahu pasti dia perasan dirinya hebat sangat dan tidak pasal-pasal dia akan ingat aku syok kat dia. Jauh-jauhkan.

“Nama itu mesti milik someone yang awak minat giler. Awak minat kat saya ke?” soalnya. Dia menatapku dengan keningnya yang terangkat-angkat sambil tersenyum. Sengaja pula dia menunjukkan aksi menggodanya.

“Saya tak minat buaya darat seperti awak!” tegasku disambut dengan deraian tawanya.

“Sebab itu awak harus berhati-hati. Buaya darat ni senang nak cari mangsa. Kebanyakan mangsa sendiri yang datang menyerah diri,” balasnya bongkak dan riak. Mendengar bicaranya itu cukup menyeramkanku. Kupeluk tubuh melindungi diri dari pandangan nakalnya. Tiba-tiba Yen mengangkat tangan seakan berhajat mahu menyentuhku. Belum sempat tangan itu mendarat di kepalaku aku terlebih awal menepisnya.

“Awak nak buat apa!” bentakku. Aku sudah berdiri menjarakkan diri darinya.

“Saya nak buang ulat kat rambut awak tu,” beritahunya.

“Ulat? Mana ulat!” Aku sudah jadi kelam kabut. Sana-sini tanganku mengibas-ngibas rambutku. Sememangnya aku cukup geli dengan makhluk itu.

“Awak tolong buangkan!” rayuku memohon simpati sambil tercengat di depannya.

“Cepat!” laungku seraya menghentak-hentakkan kaki. Aku mula menangis. Tubuhku sudah menggigil. Ada peluh dingin memercik keluar.

“Maafkan saya Mak Long,” rayuku dalam sendu sedan.

“Makan nasi tu sekarang! Makan!” jerkah Mak Long dengan wajah menyinga memandangku. Rambutku sudah berada dalam genggaman Mak Long.

“Nasi tu ada ulat. Saya tak boleh makan,” suaraku terketar-ketar.

“Habis tu kau nak beri makan kat akulah!” tengking Mak Long.

“Maafkan saya, Mak Long. Saya tak sengaja. Saya tak tahu nasi tu ada ulat,” rayuku lagi betul-betul mengharapkan simpati Mak Long.

“Aku tak peduli, kau mesti makan juga nasi ni. Memang niat kau nak bagi aku makan ulat ni!” Mak Long memaut kasar tubuhku. Digenggam sekuat-kuat rambutku sehingga membuatkan aku terdongak.

“Tolong...Mak Long. Ampun Mak Long,” rintihku merayu. Mak Long sudah dirasuk amarahnya. Nasi sepinggan yang ada ulat itu disumbat dengan kasar ke dalam mulutku.

“Apa yang mak buat ni,” Lili muncul di muka pintu dapur lalu menarik tubuhku dari pautan Mak Long. Mak Long melepaskan tubuhku penuh kepuasan setelah berjaya memaksa aku makan nasi itu. Aku terbatuk-batuk. Tangan Lili mengurut-urut belakangku. Lembut tangannya membersihkan sisa-sisa nasi yang berselerakan di sekitar mulut dan wajahku. Aku terbayang beberapa ekor ulat yang sedang melalui tekakku lalu masuk ke dalam perutku ini. Aku tidak dapat menahan diri. Akhirnya aku termuntah. Sepantas kilat tangan Mak Long hinggap di tubuhku. Bukan sekali tetapi banyak kali. Seketika tubuhku menjadi sasaran  bertalu-talu pukulan tangan Mak Long.

“Mak..cukup.....!!” Lili menjerit tidak tega melihat aku diperlakukan sedemikian. Air matanya berlinangan di pipi.

“Bersihkan sekarang muntah awak tu! Kalau aku tengok masih ada lagi bertambah sakit kau aku kerjakan!” jerkah Mak Long lalu beredar meninggalkan aku dan Lili di situ.

“Iman... awak tak apa-apa?” Aku geleng kepala.

“Biar saya tolong,” pintanya lantas mencapai kain buruk.

“Lili...,” Aku terus memeluk tubuh Lili. Tangisan kami bersatu.

“Iman ssi....,” sayup-sayup kedengaran suara lelaki. Aku mendongak. Pemuda itu terkedu menatapku.

“Awak okey?” Kuusap pipi. Air mata sudah membasahi pipiku.

“Saya tipu awak tadi. Takkan rambut secantik ni ada ulat. Lainlah kalau seumur hidup awak tak pernah mandi,” bicaranya cuba mengusikku. Kata-katanya langsung tidak memberi kesan kepadaku. Aku masih terdengar bunyi esakanku dan Lili yang bersatu. Aku masih terasa tekakku yang perit kerana terpaksa menelan nasi itu. Aku masih terasa hangat pukulan tangan Mak Long ditubuhku. Semua ini gara-gara ulat. Aku benar-benar bencikan ulat! Benci sepenuh jiwa ragaku!

“Arrrggghhhh.... Arrrggghhhhh...!” tangisanku kian menjadi-jadi. Aku sudah tidak mampu mengawalnya.

“Iman ssi are you okay?” soalnya gusar. Betapa dia terkejut melihat tangisan gadis itu. Sungguh tidak disangka akan terjadi sedemikian. Dia mula risau melihat tangisan gadis itu.

“Iman ssi..!!” Digoncangnya tubuh gadis itu cuba menyedarkannya. Aku terasa seakan bumi ini bergoyang bagai gempa bumi sedang melanda. Kutatap sekeliling. Tiada Mak Long di sini mahu pun Lili. Samar-samar aku nampak seraut wajah putih bersih sedang menatapku. Tampak bimbang dan panik.

“Jang Geun Suk...,” perlahan-lahan nama itu meniti di bibirku.

Are you okay?” Kusapu sisa-sisa air mata di pipiku. Dia masih menatapku. Wajahnya keliru. Aku masih diam. Yen pasti terkejut melihat tingkahlakuku tadi. Segelas air kosong dihulurkan kepadaku.

“Minum air ni,” arahnya. Kuteguk perlahan. Anak matanya masih tidak lari-lari dari menatapku.

“Awak betul-betul telah menakutkan saya,” luahnya. Aku diam. Pasti tingkahlakuku tadi mengundang persoalannya.

“Awak betul-betul takut dengan ulat?” Aku mengangguk. Ada senyuman terukir di bibirnya. Barangkali pengakuanku itu mencuit hatinya.

“Kenapa?” Senyap. Aku tidak akan menjawab pertanyaannya itu.

“Dah dua kali saya tengok keadaan awak macam ni. Awak ada memori buruk dengan ulat ke?” tekanya. Sedikit tersentak aku mendengar pertanyaannya itu. Kejadian tempoh hari masih segar dalam ingatannya. Yen terlalu bijak membaca tingkahlaku orang. Aku masih membiarkannya berbicara sendirian.

“Awak okey?” soalnya lagi.

“Saya nak tidur sekarang,” putusku lalu bangun meninggalkannya terpinga-pinga di situ.

 

AKU meletakkan mangkuk besar yang berisi bihun yang sudah siap dicelur ke atas meja. Satu mangkuk sup daging yang panas kuletak penuh berhati-hati. Bahan-bahan bihun sup yang lain sudah berada di atas meja. Dua biji mangkuk sederhana besar kuletakkan di tepi hidangan yang lain. Aku terus sahaja menuang air teh kosong ke dalam dua biji cawan lalu meletakkan sebiji cawan di depannya. Kemudian aku memasukkan bihun, sup serta bahan-bahan campuran yang lain ke dalam mangkuk sederhana tadi lalu kuletakkan di depan anak muda ini.

“Silalah makan,” jemputku. Senyap. Aku mula menikmati menu sarapan ini. Sedikit agak ganjil kerana awal pagi sebelum aku siap menghidang sarapan, pemuda ini sudah muncul di dapur menungguku di meja makan. Selalunya hujung minggu begini jarang benar dia bangun awal. Agaknya dia ada rancangan hari ini.

“Iman ssi, are you okay?” Aku berhenti menghirup sup. Kulawan pandangan Yen.

“Ya okey...,” balasku bagai tiada apa-apa yang berlaku semalam. Aku kembali menikmati bihun sup di depanku ini. Sesekali aku menghirup air teh kosong yang masih panas. Aku sedar sepasang mata itu tidak menjauh dari terus memerhatikan setiap gerak-geriku.

“Awak tak pernah tengok orang makan?” soalku sedikit menyentakkannya. Dia menjelingku buat aku tersenyum sendiri. Sekarang baru dia mula fokus menikmati bihun sup di depannya. Aku tertunggu-tunggu juga kalau Yen mengungkit perkara semalam. Syukur dia sudah melupakannya.

“Hari ni awak buat apa?” soalnya tiba-tiba.

“Saya?” Aku menunding jari pada diri sendiri. Dia mengangguk. Hairan dengan pertanyaan itu. Selama ini tidak pernah dia hendak ambil tahu tentang aktivitiku.

“Buat kerja rumahlah,” balasku. Dia diam dan berfikir seketika.

“Hari ni tak payah buat kerja rumah. Awak ikut saya nanti,” Aku menatap wajahnya mencari kepastian.

“Nak pergi ke mana?” soalku. Hari ini perangainya sungguh pelik. Yen hanya tersenyum.

“Pukul 10.00 nanti kita keluar. Awak bersiap-siaplah,” arahnya lalu bangun meninggalkan aku terkebil-kebil di situ. Tepat pukul 10.00 pagi, kami keluar meninggalkan rumah ke destinasi yang tidak kuketahui. Aku hanya menurut ke mana lelaki ini membawaku. Kereta yang dipandu berhenti di perkarangan Taman Tasik Mas, suatu lokasi riadah yang cukup popular di daerah kecil ini. Aku menatap Yen mengharapkan penjelasan. Namun dia terus keluar dari kereta turut memaksa aku berbuat demikian.

“Kita nak buat apa kat sini?” soalku hairan sambil mengekori langkahnya.

“Awak ikut saja,” arahnya sesekali membetulkan ikatan rambutnya. Sekumpulan anak gadis yang kami lewati memandang Yen sambil berbisik-bisik. Ternyata dia berjaya menarik perhatian gadis- gadis itu. Aku melirik ke wajah anak muda ini, dia nampak tenang dan bersahaja. Tiada terganggu dengan pandangan orang di sekeliling. Pasti dia sudah terbiasa dengan situasi demikian. Mungkin juga mereka sedang mengutuk Yen kerana penampilannya yang berbeza dengan orang lain. Namun pada pendapatku keberangkalian orang memuji lebih tinggi berbanding yang mengutuknya. Yen memang layak mendapat pujian itu. Kalau tidak percaya tengok sahaja wajah pelakon dan penyanyi Korea yang popular itu, Jang Geun Suk. Dia memang sebiji macam aktor kacak itu.

“Kita nak pergi mana ni?” tanyaku sambil cuba mengejar langkahnya. Aku ketinggalan sedikit di belakangnya. Yen masih tidak mahu menjawab pertanyaanku.

“Jang Geun Suk!” panggilku. Sakit hati tatkala dia langsung tidak menghiraukan panggilanku. Aku berhenti melangkah. Malas mahu terus mengekorinya. Tidak tahu apa yang ingin dilakukannya. Hari ini lelaki ini bersikap agak aneh. Aku harus berhati-hati. Yen sudah berada di depan meninggalkan aku.

“Hai, seorang je ke?” sapa satu suara lelaki. Aku menoleh. Ada tiga orang lelaki asing sedang tersenyum simpul menatapku. Lagak macam Mat Rempit yang ketandusan perempuan. Gerun hatiku tatkala langkah mereka kian mendekatiku.

“Sayang, kenapa lambat sangat ni,” Satu tangan sudah melingkari bahuku. Mesra. Aku mendongak. Yen sudah berada di sisiku. Aku terpaku diperlakukan sebegitu. Namun terasa selamat dengan kehadirannya yang tidak kuduga. Pandangannya tajam menatap tiga orang lelaki itu membuatkan mereka berundur lalu meninggalkan kami.

“Mari...,” Dia terus sahaja menarik tanganku membawa aku pergi. Kali ini aku akur  kerana khuatir perkara tadi berulang lagi.

“Jang Geun Suk nak buat apa kat sini?”

“Awak ikut saja ke mana saya pergi,” arahnya.  Terasa hangat tangannya memaut tanganku. Langkah kami terhenti. Aku terkedu dengan pandanganku tika ini.

“Jang Geun Suk...,”  Dia menoleh dan tersenyum menatapku.

“Kita nak buat apa?” soalku keliru.

“Menyeberangi jambatan gantung ni. Kenapa? Awak takut?” Aku geleng kepala menafikan tuduhannya itu.

“Tak... tapi saya tak nak menyeberang sekarang,” tingkahku.

“Bukan ke awak kata awak suka aktiviti mencabar. Jom...,” ajaknya lalu menarik tanganku memasuki barisan panjang ini, bersedia hendak menyeberangi tasik menggunakan jambatan gantung sepanjang 500 meter pada ketinggian sepohon pokok. Suatu perjalanan yang panjang, agak tinggi dan menggayatkan aku.    

“Saya tak nak,” bantahku. Cuba kutarik tanganku. Namun pautan tangan Yen begitu kemas.

“Awak tak perlu takut. Saya akan pegang awak,” janjinya.

“Saya bukan takut tapi saya tak nak pergi sekarang,” terangku berkeras.

“Kita mesti teruskan juga. Cuba tengok kat belakang tu ramai dah orang berbaris. Kita tak boleh berpatah balik,” jelasnya cuba menyedarkanku sekali gus memaksaku untuk akur. Aku menoleh ke belakang. Berpuluh-puluh pasangan sudah beratur menunggu giliran untuk menyeberangi jambatan gantung ini. Agak sukar untuk aku dan Yen berpatah balik kerana laluan sempit yang hanya boleh dilalui oleh dua orang secara beriringan. Kalau aku berpatah balik pasti akan memberi kesukaran kepada orang lain sekali gus tidak mustahil bakal menimbulkan kemarahan mereka. Silap tingkah boleh mencetuskan pergaduhan. Aku tidak jamin Yen akan berdiam diri andai ada yang melemparkan kata-kata kurang menyenangkan kepada kami, tetapi mestikah aku menyeberangi jambatan gantung ini bersama dia? Bukankah aku mahu melakukan semua ini bersama .... Ah, aku binggung memikirkannya!

“Sedia, Iman ssi,” Aku tersentak. Semua yang ada dalam fikiranku bertaburan hilang. Langkah pertama memijak jambatan gantung ini sudah bermula.

“Hati-hati,” ujarnya mengingatkan aku. Aku terhoyong-hayang seketika di awangan. Kedengaran jeritan-jeritan kecil di sekeliling. Aku melemparkan pandangan ke bawah. Huhh, terasa bergegar lututku! Jantung berdegup kencang.

“Jangan tengok kat bawah. Teruskan jalan,” arahnya. Keadaanku masih terhoyong-hayang. Belum dapat mengimbangi diri.

Let’s go,” Tangan Yen mencapai tanganku. Terasa erat genggaman itu. Kali ini baru aku boleh melangkah dengan seimbang. Masih kedengaran suara jeritan-jeritan kecil pengunjung-pengunjung lain. Mereka sepertiku. Aku menatap sekeliling. Awan membiru menghiasi pandangan. Begitu indah dan menyegarkan seperti aku sedang memijak awan. Aku mula tidak pedulikan sekelilingku lagi. Aku juga tidak hiraukan Yen di sisiku. Aku lupa seketika dengan duka-dukaku selama ini. Berada di tempat tinggi terasa begitu lapang.

Yen menatap gadis di sisinya dengan senyuman. Senang hati melihat gadis ini sudah boleh tersenyum panjang. Rancangannya telah berhasil. Berbaloi dia menghabiskan masa sepanjang malam untuk membaca buku yang dihasilkan oleh pakar motivasi itu. Dia bahagia melihat senyuman itu.

“Awak okey sekarang?” Aku mengangguk seraya menyambut air mineral yang dihulurkan. Yen melabuhkan punggung di sebelahku. Dia tersenyum sendiri.

Gomawoyo. Setelah melalui cabaran yang sukar tadi, saya rasa tenang sekarang,” luahku jujur. Yen senyum lagi. Sekarang dia sudah menjadi pemuda yang murah dengan senyuman. Tidak seperti dulu. Suatu perubahan positif pada dirinya.

“Bukankah awak tak nak menyeberang tadi. Tengok bukan sesuatu yang menakutkan, kan?”     

“Saya tak takut,” bidasku. Yen tertawa. Dia tidak mempercayai bicaraku.

“Habis tu kalau tak takut, apa?” Aku menatapnya.

“Kalau saya cakap perkara yang sebenar, boleh tak awak jangan ketawakan saya,” pintaku. Yen menatapku. Lantas dia mengangguk.

“Apa dia?”

“Awak janji jangan ketawa,” Dia mengangguk lagi.

“Saya pernah janji dengan diri sendiri, saya akan menyeberangi jambatan gantung tadi dengan lelaki cinta pertama saya,” ceritaku serius.

“Ha...ha....ha..!!!” Yen ketawa.

“Awak dah janji takkan ketawakan saya,” marahku.

“Okey.... okey...,”  Masih ada sisa-sisa tawanya. Lantas sedaya upaya cuba dikawal diri daripada terus ketawa. Kenyataanku ini benar-benar telah mencuit hatinya.

“Awak ni kelakarlah. Macam budak-budak,” kutuknya. Ditepuknya bahuku. Laju tanganku menepisnya. Suka sangat dia memperli aku.

“Tapi awak telah musnahkan semua tu,” tegasku dengan wajah yang serius menatapnya. Yen tertawa lagi. Gembira sungguh dia menjadi pemusnah kepada impian orang lain. Kempunanlah aku merealisasikan hajatku itu. Semua ini gara-gara pemuda Korea ini.

“Awak marah?” Aku menjelingnya tajam. Dia tersenyum lagi.

“Tak pelah. Walaupun awak tak dapat menyeberang jambatan gantung itu bersama lelaki cinta pertama awak, tapi sekurang-kurangnya awak melakukannya bersama suami pertama awak,” tuturnya santai dan bersahaja. Aku terdiam. Aku menoleh ke arahnya, menatap wajah itu. Aku dan Yen berpandangan seketika. Senyap.

“Awak tak gembira melakukannya bersama saya?” Aku terkedu mendengar pertanyaan ini. Yen masih menatapku menanti jawapan daripadaku.

“Sejujurnya, memang saya gembira tapi dalam masa yang sama saya takut kalau girlfriend awak yang cantik itu menyerang saya,” luahku jujur. Yen tersenyum. Mungkin bangga dengan pujian yang aku berikan kepada kekasihnya itu.

“Bila awak nak kahwin?” Bulat matanya menatapku.

“Bukankah saya dah kahwin. Awak dah lupa ke?”

“Maksud saya kahwin dengan Velviana?” jelasku.

“Saya tak percaya dengan ikatan perkahwinan,” balasnya selamba. Patutlah pada pertemuan pertama kami, dia mahu kami tinggal bersama tanpa ikatan yang sah. Aku menatap wajah itu lagi. Sungguh menggerunkan prinsipnya itu. Namun tercelit sedih dan simpatiku pada pemuda ini. Sayang wajah kacak, tetapi ketandusan pegangan.

“Saya pernah terbaca satu mutiara kata daripada hamba Allah yang sangat menarik yang berbunyi begini. Awak dengar dengan teliti ye. Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengamati segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamatnya. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsia. Berkahwinlah demi Allah dan nabi-nabiNya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai. Memang jodoh itu disembunyikan dari pengetahuan untuk menguji ketaqwaan hamba-hambaNya,” lancar mulutku menuturkan madah pujangga indah ini.

“Bagaimana perasaan awak? Adakah perkahwinan kita berdua ni indah?” soalnya sambil menatapku. Aku tergamam mendengar pertanyaannya itu.

“Mungkinkah saya memang jodoh awak?” soalnya lagi. Tersentak. Tiada bicara yang terbit dari mulutku. Yen masih menatap wajahku, menanti persoalannya dijawab. Namun lidahku kelu. Akhirnya aku hanya mampu membiarkan persoalannya berlalu tanpa sebarang jawapan.

 

 

Awaklah Sonataku....7

 

 

BAB 7

AKU menghulurkan bungkusan kek cawan yang telah dipesan oleh gadis yang masih lengkap berpakaian seragam sekolah. Kami saling bertukar senyuman.

“Terima kasih adik. Sila datang lagi,” tuturku mesra. Dia mengangguk dan masih dengan senyuman yang terukir di bibir. Melihat gadis ini mengingatkan alam persekolahanku dahulu. Tentu sangat berbeza kehidupanku dengannya. Setiap hari balik dari sekolah, usai solat zohor dan kadangkala tidak sempat makan tengah hari, aku akan bergegas ke warung Mak cik Zainab. Di sana aku bekerja membantunya menjual kuih-muih dengan gaji  RM10.00 yang kukira agak lumayan ketika itu. Banyak kali aku bekerja tanpa makan tengah hari  kerana mood Mak Long yang menentukan sama ada aku boleh makan sebelum ke warung Mak cik Zainab atau sekadar membawa perut kosongku.

Kekerapan tidak makan lebih banyak berbanding makan. Kemudian dengan belas ihsan Mak cik Zainab, aku akan makan kuih-muih percuma di situ sebagai alas perut yang sedang rancak berkeroncong saat itu.  Duit upah RM10.00 itu akan aku belanjakan membeli barang dapur yang harganya serendah nilai gajiku itu. Selalunya gula, tepung dan ikan masin yang mampu aku beli.  Bekerja di warung Mak cik Zainab menyebabkan aku tidak pernah menghadiri kelas tambahan. Mujur Lili yang bersusah payah menyalin nota untukku. Malamnya dengan sembunyi-sembunyi dia akan meminjamkan nota itu kepadaku. Kalau Mak Long tidur awal atau tidak berada di rumah tika itu, Lili akan berkongsi ilmu denganku. Bukan aku tidak mengendahkan kemarahan guru-guru kerana aku ponteng kelas tambahan, tetapi aku lebih takut dengan kemarahan Mak Long. Sekurang-kurangnya dengan gajiku itu akan menyenangkan sedikit hati Mak Long. Lama-kelamaan semua guru sudah tidak peduli dengan kehadiranku di kelas tambahan itu. Sememangnya mereka sudah letih menegur dan menasihatiku. Sedih mengenang kisah lalu. Kasihannya aku.

Jauh di sudut hati, aku mahu seperti teman-teman yang lain hidup riang dan bebas tanpa diselubungi perasaan takut dan khuatir. Aku mahu bermain dan belajar bersama-sama rakan sekolah. Aku ingin menikmati zaman kanak-kanakku agar aku mampu melakar keseronokan zaman itu sebagai kenangan dan memori terindah yang boleh kuingati sepanjang hayat. Malangnya aku tidak berkesempatan merasainya. Hidup bergantung dan mengharap belas kasihan daripada Pak Long dan Mak Long sudah menjadi suratan hidupku.

Namun aku tidak pernah berdendam dengan Mak Long. Macam mana sekalipun dia bertegas denganku, aku tetap berterima kasih kepadanya kerana masih sudi menumpangkan aku hidup dalam keluarganya. Aku tahu bukan sesuatu yang mudah tanpa kerelaan menjaga dan membesarkan anak yang bukan lahir dari rahim sendiri. Begitu menyeksakan memaksa diri menerima kehadiran orang yang tidak disukai. Betapa membebankan diri. Itulah situasi yang terpaksa Mak Long tempuhi. Aku tidak kisah dengan sikap Mak Long. Baik buruknya dia tetap Mak Longku. Orang yang menjaga dan membesarkan aku setelah aku kehilangan ibu dan nenek.

“Termenung panjang nampak?” Tersentak aku dengan sapaan Sham. Pemuda itu sedang tersenyum lebar menatapku. Dia sudah siap sedia menggantikan tempatku. Kutatap jam. Sudah mencecah jam pertukaran shif kerja. Aku berundur ke belakang memberi laluan kepada Sham memulakan tugas pada petang ini.

“Sebelum awak balik, sila ke office Encik Rizal dulu. Bos nak jumpa awak,”ujar Sham menyampaikan pesanan. Aku menatap wajah pemuda ini. Cuba mencari kebenaran daripada bicaranya. Risau kalau dia sekadar bergurau dan mempermainkan aku memandangkan sejak kenduri Arlen hari itu mereka asyik mengenakan aku dengan Encik Rizal. Teman-teman sudah berani mengusik kami secara terang-terangan.

 “Betul?” tanyaku kurang yakin akan kesahihan bicaranya ini. Dia mengangguk lagi lantas mengangkat tangan tanda bersumpah. Sama sekali dia tidak akan berbohong. Risau kalau berbohong dimakan sumpah. Lima minit kemudian, aku sudah terpacak di depan pintu bilik Encik Rizal. Sempat juga aku memikirkan hajat Encik Rizal yang mahu berjumpa denganku. Mungkin dia ingin meneruskan perbincangan tentang konsep kafe cawangan baru RCC itu.

“Masuk...,” Kedengaran suara Encik Rizal mengarahkan masuk tatkala daun pintu kuketuk. Aku muncul di sebalik pintu. Nampak senyuman Encik Rizal sedang menyambut kedatanganku.

“Duduk Iman,” pintanya.

Thanks,” Aku terus melabuhkan duduk menghadap Encik Rizal. Dia  tersenyum. Pemuda ini memang tidak lokek dengan senyuman. Sentiasa tenang walau apa keadaan sekalipun. Aku yakin sikap ini yang memudahkannya menempa kejayaan dalam usia muda. Bukan seperti Yen yang sukar diramal sikapnya. Gemar ikut kata hati. Suka sangat memeningkan kepala orang lain. Ada masa dia akan bersikap kebudak-budakan.      

“Dah habis shif kerja?” tanyanya mula bersuara. Aku mengangguk.

“Lepas nie awak ada nak pergi mana-mana?” tanyanya lagi.

“Takde. Ingat nak terus balik rumah,” balasku.

“Kita lunch. Saya belanja awak makan,” pelawanya. Aku diam seketika. Cuba mempertimbangkan pelawaan ini. Sebenarnya aku segan juga kalau banyak kali dapat makan percuma daripada Encik Rizal. Bukan sikapku yang suka meminta-minta dan mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Paling menakutkan aku gosip liar teman-teman.

“Awak tak sudi temankan saya makan?” tanya Encik Rizal apabila aku belum memberikan jawapan atas ajakannya tadi. Laju aku menggeleng.

“Sebenarnya saya segan kalau Encik Rizal banyak kali belanja saya makan,” luahku tanpa berselindung. Dia tersenyum lagi. Ditatapnya gadis itu. Betapa hatinya sudah terpaut pada gadis ini. Sikap Iman begitu menyenangkan. Terhibur hati lelakinya tatkala gadis ini berada di sampingnya.

“Kalau macam tu awak belanjalah saya minum sekarang,” pintanya. Laju  aku mengangguk. Setuju. Aku tersenyum. Cadangannya itu memang tepat. Sekurang-kurangnya tidak perlu aku terus-terusan menggunakan wangnya untuk mengisi makanan di dalam kantung perutku.

“Encik Rizal tak kisah kalau saya ajak minum di tempat biasa-biasa saja?” tanyaku. Hendak belanja lelaki ini di tempat mewah-mewah tidak mampu aku membayarnya nanti. Lebih baik berterus-terang sahaja. Dia tergelak.

“Apa kata kalau awak bawa saya pergi ke warung tempoh hari. ABC di sana sedap,” cadang Encik Rizal. Aku senyum.

“Boleh. Nanti saya belanja Encik Rizal makan laksa Sarawak,” janjiku.

Thanks. Let’s go,” ajaknya penuh bersemangat. Bingkas Encik Rizal bangun lalu melangkah ke muka pintu. Aku tersenyum mengekori langkahnya. Tiba di Warung Setia Menanti, aku terus memesan menu yang sudah dirancang tadi. Tatkala aku bertanya kepada Encik Rizal jika dia ingin memilih menu sendiri, dia hanya geleng kepala. Dia hendak makan menu pilihanku. Perkara yang memudahkanku. Dia bukan seorang yang cerewat. Serupa seperti Yen yang tidak pernah menolak apa sahaja yang dihidang di depannya.

Interesting nama warung ni, Setia Menanti,” tutur Encik Rizal sambil menatap papan tanda warung ini. Aku mengangguk.  

“Setia menanti kunjungan pelanggan-pelanggan ke sini walau dalam keadaan apa sekalipun,” tuturku tersenyum. Itulah yang pernah dinyatakan oleh Abang Wahab, pemilik warung ini. Encik Rizal tersenyum mendengar penjelasanku. Sememangnya dia mengetahui warung ini merupakan lokasi kegemaranku dan Linda hendak menjamu selera. Jadi kenyataanku itu tidak menjadi persoalannya memandangkan aku dengan pemilik warung ini sudah saling mengenali.

ABC dan laksa Sarawak yang kupesan sudah sampai. Aku menjemput Encik Rizal menikmati. Tanpa berlengah, kami terus menjamu selera. Sempat juga aku memerhatikan gelagat Encik Rizal. Memang dia tekun menikmatinya. Barangkali mengena dengan seleranya. Kedengaran deringan iPhone Encik Rizal. Laju tangannya mengeluarkan iPhone itu dari poket. Panggilan itu diterima. Dia berbual-bual dengan si pemanggil. Butir bicara mereka jelas berkisar tentang bisnes. Orang bisnes sibuk memanjang walaupun berada di mana-mana sahaja. Encik Rizal tersenyum kepadaku. Diletakkan iPhone itu di atas meja lalu menyambung kembali suapan yang tergendala sebentar tadi. Lontaran pandanganku jatuh pada skrin iPhone Encik Rizal yang masih menyala. Cukup jelas gambar yang menghiasi skrin itu. Encik Rizal menatapku lalu turut sama menyoroti pandangan mataku. Aku dan Encik Rizal saling berpandangan. iPhone itu dicapai lalu dihulurkan kepadaku. Memberi kesempatan aku melihat lebih jelas lagi.

“Awak nak tengok gambar? Saya paling suka gambar ini,” ujarnya berterus-terang dengan tenang. Aku menatap lama gambar yang menjadi wallpaper pada skrin iPhone Encik Rizal. Suaraku masih tersimpan di kerongkong. Aku tergamam. Sungguh di luar jangkaanku Encik Rizal akan menjadikan gambar yang diambil ketika hari persandingan Arlen sebagai wallpaper iPhonenya. Saat itu aku dan Encik Rizal terpaksa menjadi pengapit pengantin atas desakan teman-teman. Aku keliru. Apa sebenarnya maksud Encik Rizal di sebalik tindakannya ini?  

“Awak cantik sangat pada hari itu. Baru sekarang saya ada kesempatan nak cakap pada awak,” tuturnya tenang. Aku terkedu mendengar pujian ini. Terasa lain sahaja nada pujian Encik Rizal ini. Aku dan Encik Rizal saling berpandangan.

“Awak pasti dah mengetahui perasaan saya terhadap awak selama ini. Dah sampai masa saya nak berterus-terang pada awak. Saya nak lebih mengenali awak bukan setakat sebagai bos dengan pekerja atau sebagai sahabat. Bolehkah awak menerima saya, Iman?” tanya Encik Rizal dengan tenang. Aku terkedu. Buntu. Tidak tahu apa yang harus aku katakan kepadanya saat ini.

“Encik Rizal, saya... saya...,” bicaraku tersekat-sekat.

“Tak payah awak berikan jawapan sekarang. Seperti warung ini, saya juga akan setia menanti awak,” ujarnya menambahkan kekalutan hatiku. Tiba-tiba sahaja aku kekok berada di sebelah Encik Rizal. Sepanjang perjalanan balik, aku hanya mendiamkan diri. Begitu juga dengan Encik Rizal. Masing-masing lebih suka melayan perasaan sendiri. Ketika aku sampai di halaman banglo ini, aku nampak kereta Yen sudah ada di parkir. Kulirik jam tangan. Masih belum sampai waktu hendak menyediakan hidangan makan malam.

“Terima kasih Encik Rizal kerana sudi hantar saya balik. Pandu kereta hati-hati ye,” ujarku berpesan. Encik Rizal tersenyum dan mengangguk.

“Minta maaf kalau saya telah mengejutkan awak tadi. Saya benar-benar ikhlas dengan awak,” tutur Encik Rizal buat aku terdiam panjang. Kereta BMW hitam metalik milik Encik Rizal sudah beredar meninggalkan halaman banglo ini. Aku masih terpacak di sini memikirkan bicara Encik Rizal tadi. Sungguh aku keliru sekarang.

“Buat apa awak terpacak macam tiang elektrik di situ?  Awak tak nak masuk?” Dua pertanyaan dilontarkan kepadaku. Laju aku berpaling. Yen sedang berdiri di ambang pintu sambil menatapku. Aku tersenyum lalu melangkah ke arahnya.  

“Bos awak yang hantar awak balik?” tanyanya sambil membuka laluan untukku melangkah masuk. Aku melewatinya sambil mengangguk. Langkahku bergerak mendekati anak tangga ke tingkat atas. Niat hati mahu berbaring di bilik seketika. Paling tepat mahu menenangkan diri kerana aku bingung sekarang.

“Iman ssi, are you okay?”  Aku berpaling. Yen sedang terpacak di sana sambil menatapku.

“Aaa...,” hanya itu yang mampu keluar dari mulutku. Aku mematungkan diri di atas anak tangga ini tanpa sepatah kata. Begitu juga dengan Yen. Akhirnya aku dan Yen hanya saling berpandangan.

 

AKU menghirup perlahan-lahan sup daging di dalam mangkuk. Kemudian menyuap nasi di dalam pinggan. Kailan goreng bersama udang kering tumbuk langsung tidak kusentuh. Hari ini tiada selera hendak makan sayur. Senyap. Aku tidak mengendahkan lirikan mata Yen ke arahku. Bukan sekali tetapi banyak kali. Kedengaran keluhannya. Nampak dia terganggu dengan kesenyapanku ini. Tidak biasa melihat aku mengunci mulut.

“Iman ssi, awak tak sihat hari ini?” suara Yen memecah kesepian. Aku berhenti mengunyah. Baru sedar cara dia memanggil namaku itu begitu menarik. ‘Iman ssi’. Kalau ikut kefahamanku maksudnya ‘Cik Iman’. Kutatap wajah pemuda Korea di depanku ini. Laju aku geleng kepala.

“Awak ada masalah?” tanyanya lagi. Aku geleng kepala lagi.

“Kenapa awak nampak pelik hari ini?” keluar lagi pertanyaan dari mulutnya. Pelik? Aku meramas-ramas wajahku. Dagu, mulut, hidung dan mataku terletak pada tempat asalnya. Tiada yang berubah. Masih sama seperti biasa. Kuteliti diriku. Juga masih sama seperti semalam.

“Maksud saya sikap awak yang pelik. Awak tiba-tiba saja macam orang yang tak larat nak cakap. Awak dah jadi bisu ke?” tanyanya menyentakkanku.

Mwo (apa)!” Aku melenting tatkala mendengar bicara mulut celuparnya itu. Yen tersenyum membalas jelingan tajamku.

“Awak keluar dengan bos awak tadi?” tanyanya.

“Keluar makan,” ceritaku pendek.

“Dia belanja awak makan?” pertanyaan diajukan kepadaku lagi.

“Tak. Saya yang belanja dia minum,” balasku. Yen menatapku. Pandangannya penuh tersirat. Mungkin dia ada idea baharu hendak mengutukku.

“Awak tak pernah pun belanja saya makan,” tuturnya di luar jangkaanku. Aku tidak jadi menghirup kuah sup yang sudah berada di sudu. Kembali kuletakkan ke dalam mangkuk. Kutatap Yen.

“Macam mana saya nak belanja awak makan sedangkan kita tak pernah keluar bersama. Lagipun saya takut terserempak dengan Velviana, nanti tak pasal-pasal dia serang saya,” luahku memberi alasan yang logik.

“Saya tak suka buat orang salah faham dan curiga,” tambahku.

“Maksud awak?” tanyanya meminta penjelasan lanjut.

“Ketika kita keluar bersama, ditakdirkan kita bertembung dengan kekasih awak, pasti dia akan salah faham dan curiga kepada awak,” jelasku.

“Awak isteri saya. Tak salahpun saya keluar dengan awak,” tingkahnya santai dan cukup bersahaja. Mudah sahaja cara dia berfikir. Langsung tiada pertimbangan yang mendalam. Dia ingat kalau dia berbicara begitu, tidak mengamuk Velviana. Aku tidak bersedia menjadi mangsa serangannya. Perempuan ini kalau cemburu boleh lakukan apa sahaja. Kadangkala boleh melampaui kewarasan diri. Eee... ngeri aku!

“Awak akan cakap macam itu pada buah hati awak?” tanyaku mengujinya. Yen mengangguk. Sungguh yakin. Sahlah dia ini sang buaya yang kebal.

“Awak nampak begitu yakin yang Velviana takkan tinggalkan awak,”

“Apa yang nak dirisaukan, lelaki boleh kahwin empat. Rasanya dia sedia jadi madu awak,” balasnya bersahaja disusuli dengan gelak. Cish, berangan betul pemuda ini! Dia ingat aku akan jadi mangsa kebuasannya itu. Kalau betul dia ada hajat sedemikian baik padamkan sahaja. Jika Yen berhajat hendak nikah dengan Velviana aku akan kembali pada kehidupan asalku. Kehidupan yang tidak mengenali pemuda ini. Mungkin saat itu aku akan menjadi teman wanita Encik Rizal. Berangan pula. Aku tersenyum sendiri.

“Apa hal awak senyum-senyum sendiri ni?” Sedikit tersentak aku dengan tegurannya itu. Bulat anak mata Yen menatapku.

“Awak nampak awak jadi pengapit pada hari persandingan saya dengan Velviana?” tanyanya tersengih.

“Jangan haraplah. Cukup sekali dalam hidup ini saya jadi pengapit pengantin,” balasku. Serta-merta terbayang pada hari aku menjadi pengapit dengan Encik Rizal di majlis persandingan Arlen. Sungguh  merimaskan diperhatikan oleh tetamu-tetamu yang bertandang. Lawak pun ada. Apa tidaknya berdiri macam tunggul kayu tidak tahu hendak berbuat apa. Sungguh aku bukan jenis manusia yang suka sangat jadi tontonan orang lain.

“Apa! Awak pernah jadi pengapit pengantin? Bila? Siapa yang kahwin?” bertubi-tubi pertanyaannya dilontar kepadaku.

 “Saya dan Encik Rizal yang jadi pengapit Arlen,” jelasku.

“Betul?” tinggi sahaja nada suara Yen. Aku hanya mengangguk.

“Mana boleh awak jadi pengapit pengantin,” bantahnya.

“Kenapa pula?” tanyaku bingung.

“Awakkan isteri orang. Pengapit pengantin mesti orang bujang,” jelas Yen serius. Aku mendengus bosan. Dia sudah mula memeningkan kepalaku. Pemuda semoden dia ini sukar hendak percaya kalau ada pantang larang yang harus dipatuhinya.

“Lain kali lebih baik awak berhati-hati dengan tindakan awak,” tegas suara Yen berpesan lalu bangun meninggalkan aku yang kian kebingungan. 

 

AKU memasukkan beg ke dalam loker besi ini. Seulas senyuman Kim Hyeon-Jung sempat singgah di pandanganku sebelum pintu loker kututup. Dia salah seorang aktor Korea yang kuminati. Aku terus melangkah bersedia hendak memulakan tugas pagi ini.

“Iman, tunggu kejap!” Aku berpaling. Pengantin baru yang melaung namaku. Senyuman ceria Arlen lebih awal dilemparkan kepadaku. Wajahnya berseri-seri. Maklumlah pengantin baharu. Arlen berlari-lari anak mendapatkanku.

“Dah habis cuti?” Dia mengangguk.

Honeymoon di mana?” tanyaku mengusiknya.

“Di Kuchinglah. Kebetulan balik sana jumpa family suami, teruslah honeymoon di sana,” balasnya ceria. Aku mengangguk. Yalah susah-susah sahaja hendak pergi jauh sedangkan di Malaysia sendiri banyak tempat menarik. Sarawak Bumi Kenyalang merupakan negeri terbesar di Malaysia yang terkenal sebagai rumah kepada beribu-ribu Burung Kenyalang. Sarawak bukan sahaja negeri yang terbesar di Malaysia malah merupakan negeri yang terbahagi kepada paling banyak kawasan dan mengandungi sungai terpanjang di Malaysia serta rama-rama yang terbesar di dunia. Gua yang terluas di dunia, hutan hujan tropika yang tertua malah orang yang pertama muncul di Asia Tenggara ialah di Sarawak. Terbukti Sarawak yang unik.

Bagi seorang kaki skuba dan snorkeling bolehlah mengunjungi Pulau Tioman, yang tersenarai dalam 10 pulau tercantik di dunia. Memang cantik pun. Aku pernah snorkeling di pulau tersebut dengan Roslinda Si Ayamor. Dasar lautn bersih dan kaya dengan hidupan laut. Kalau tidak pun boleh pergi juga ke Pulau Sipadan dan Pulau Redang. Pulau Sipadan yang terletak berhampiran bandar Samporna, Sabah ini adalah antara pulau terindah di dunia dan popular dengan aktiviti selaman skuba. Mengikut keputusan undian umum yang dikeluarkan oleh New 7 Wonders of Nature votes commitee, Pulau Sipadan telah tersenarai antara 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik dunia pada tahun 2009. Pulau ini begitu terkenal dalam kalangan pencinta aktiviti skuba kerana struktur dasar pulau ini menyerupai bentuk cendawan. Bagi yang ingin menyaksikan penyu bertelur bolehlah bercuti di Pulau  Perhentian yang terletak di Terengganu. Pulau ini sering menjadi tumpuan penyu hijau dan Hawksbill untuk bertelur.

Bagi yang inginkan suhu sederhana sejuk boleh bertandang ke Tanah Tinggi Genting iaitu 2000m di atas paras laut 3°24′6.51″U, 101°46′2.62″T merupakan puncak gunung yang terletak di Banjaran Titiwangsa,  Semenanjung Malaysia dan merupakan tempat peranginan yang terkenal di Malaysia. Merentasi sempadan negeri Pahang dan Selangor, perjalanan ke Genting Highlands mengambil masa kira-kira sejam dengan kereta dari Kuala Lumpur ataupun melalui kereta kabel bergerak yang pantas.  Pusat Peranginan Tanah Tinggi Genting ini juga menempatkan hutan berusia 100 juta tahun.

Terasa persis pemandu pelancong pula aku ini. Boleh tahan juga pengetahuanku. Aku tersenyum bangga sendiri. Inilah kelebihannya kalau banyak membaca, maka ilmu pengetahuanpun akan bertambah luas. Aku gemar menerokai destinasi-destinasi pelancongan sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Kalau aku berkemampuan pasti aku akan menggelilingi dunia ini. Alangkah seronok kalau aku berkesempatan melakukan semua itu. Apatah lagi menggelilingi dunia bersama orang yang tercinta. Pasti lebih bermakna.

“Mari ikut saya ke office,” ajak Arlen. Aku menatap Arlen. Hairan dengan ajakannya itu sedangkan sedikit masa lagi tugasku akan bermula.

“Nak buat apa?” tanyaku keliru.

“Nanti saya beritahu awak. Mari...,” Arlen menarik tanganku memasuki biliknya. Memandangkan Arlen ialah pembantu Encik Rizal, maka tiada kerisauan hendak memenuhi permintaannya itu. Aku menurut sahaja tatkala Arlen mengarahkan aku duduk di kerusi di depannya ini. Sebuah fail diletak di depanku. Aku membuka fail tersebut tanpa menunggu arahan seterusnya daripada Arlen. Aku yakin memang fail itu mahu tunjukkan kepadaku. Aku menatap ada beberapa jenis borong laporan harian berserta contoh ada di situ. Kuselak lagi. Semua helaian berkaitan dengan bidang tugas Arlen. Aku mengalih pandangan kepada Arlen, meminta penjelasan perkara sebenar yang dikehendaki gadis ini.

“Sebulan dari sekarang awak akan pratikal bersama saya,” ujarnya.

“Apa?” Bingung aku mendengar bicaranya itu.

“Saya perlukan pertolongan awak, Iman. Saya berharap sangat kita  boleh bekerjasama dengan baik,” tutur Arlen menambah kekeliruanku.

“Awak cakap apa ni, Arlen?” tanyaku geram. Selama ini aku rasa aku sudah memberikan kerjasama yang baik kepadanya. Langsung aku tidak pernah membantah segala arahannya kerana Arlen sentiasa berada atas landasan yang betul. Sama sekali aku tidak pernah mengadu tentang dirinya kepada Encik Rizal. Arlen telah menjalankan tugas dengan baik. Tiba-tiba Arlen tertawa. Aku semakin hairan menyaksikan perangainya. Pelik ... pelik. Agaknya inilah gejala penyakit selepas kahwin. Merunsingkan otakku mahu berfikir. Aku tertanya-tanya dengan gelagat ini.

“Muka awak nampak tegang,” komennya.

“Macam mana tak tegang, kalau awak asyik meracau-racau macam ni. Pening kepala ini tau,” keluhku. Arlen ketawa lagi. Laju tangannya menepuk-nepuk lembut belakangku cuba menenangkan aku.

“Saya nak letak jawatan sebulan dari sekarang. Saya nak ikut suami saya pindah ke Kuching. Dia dapat pindah mengajar di sana,” cerita Arlen. Aku mendengar bicara Arlen dengan teliti. Sememangnya aku mengetahui suaminya ialah orang Kuching dan seorang guru, tetapi tidak sangka pula secepat ini mereka akan berhijrah ke situ memandangkan mereka baru sahaja menjadi suami isteri. Inilah namanya rezeki selepas kahwin. Pasti seronok dapat balik dan berkhidmat di kampung halaman sendiri.

“Awak yang akan menggantikan tempat saya,” ujar Arlen betul-betul mengejutkanku.

“Biar betul,” balasku tidak yakin. Kutatap Arlen. Dia mengangguk.

“Ini kenaikan pangkat untuk awak. Awak terimalah ye. Plaese...,” rayunya. Aku diam. Masih membuat pertimbangan sewajarnya. Tidakkah ini suatu yang mengejutkanku?

“Jangan lupa bawa fail tu. Malam ini boleh jadi homework awak. Jangan lupa, esok dah mula pratikal awak,” arah Arlen sambil mengingatkan aku.

“Saya kena bincang dengan seseorang sebelum terima tawaran ini,” ujarku.

“Encik Rizal di Perancis sekarang. Minggu depan baru dia balik. Dia yang amanahkan saya maklumkan perkara ini kepada awak,” tingkah Arlen. Barangkali dia menyangka seseorang yang kumaksudkan itu ialah Encik Rizal. Aku diam lagi.

“Awak terimalah lantikan ini. Awak memang layak mengisi jawatan itu. Tak payah fikirkan lagi.” putus Arlen cuba memancing kesudianku.